KUALA LUMPUR: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) pada Isnin mengesa kerajaan agar mengambil perhatian berkenaan isu pelarasan pencen kepada mereka yang bersara sebelum 1 Jan 2013.

Mewakili seluruh warga pesara ATM dan pesara sektor awam, Presiden PVATM Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar berkata, mereka mengharapkan berita baik dapat diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat ini.

Ujarnya, penantian selama 10 tahun sejak 2013 diharap berakhir dengan isu pelarasan pencen dapat dimuktamadkan kali ini.

"Para pesara mengharapkan suatu pengumuman yang positif, setelah menunggu sejak tahun 2013 iaitu 10 tahun yang lalu supaya isu pelarasan pencen dapat dimuktamadkan.

"Gesaan ini adalah sejajar dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun 2023 yang membuat keputusan bahawa pelaksanaan pelarasan pencen adalah lebih baik daripada pelaksanaan kenaikan 2 peratus pada setiap tahun.

"Dalam masa yang sama kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet untuk menyemak semula gaji dan pencen penjawat awam," jelasnya.

Tambah Sharuddin, sekiranya isu terbabit tidak dilaksanakan dan pemberian skim bantuan PKKP tidak diteruskan pada tahun hadapan, ia akan memberi impak besar kepada sosio-ekonomi pesara tentera.

"Sebilangan besar atau 93% dari kalangan pesara tentera hanya menerima pencen pada kadar 50 peratus (iaitu 10 peratus lebih rendah berbanding pesara perkhidmatan awam lain) disebabkan tempoh perkhidmatan kurang 25 tahun tiga bulan.

"Ini kerana memang tempoh perkhidmatan wajib tentera ditetapkan hanya selama 21 tahun sahaja.Veteran ATM sudah lama menderita dengan kadar pencen yang rendah itu, tambah pula dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang meningkat ketika ini menambah lagi beban serta penderitaan veteran," katanya.

Ujarnya, tidak semua pesara tentera yang menuntut pelarasan pencen terbabit, ia hanya melibatkan seramai 78,546 orang bersamaan 59.13 peratus daripada keseluruhan 134,682 pesara ATM.

"Jika kita berasaskan kepada jumlah pencen bulanan yang diterima, seramai 73,339 orang atau 93.4 peratus veteran berada dalam kategori B40.

"Situasi ini akan berterusan jika langkah penambahbaikan tidak diambil.Justeru itu, PVATM menggesa Kerajaan Malaysia Madani melaksanakan pelarasan pencen kepada Veteran ATM khususnya bagi mereka yang bersara sebelum 2013 menerusi Belanjawan 2024," ujarnya.